SYARAT WAJIB ZAKAT
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:
"...Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya" - Riwayat Muslim
KADAR FITRAH
Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
WAKTU MENGELUARKAN FITRAH
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
- WAKTU WAJIB
Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
- WAKTU YANG PALING AFDHAL
Sebelum sembahyang Hari Raya
- WAKTU SUNAT
Sepanjang bulan Ramadhan
- WAKTU MAKRUH
Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
- WAKTU HARAM
Selepas terbenam matahari satu Syawal
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat
dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat".
Surah An-Nur (ayat 56)