03 September 2009

NUZUL AL-QURAN

Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, umat islam secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan puasa Ramadhan).

CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN

Nabi Muhammad s.a.w. mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:

  • Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dala, kalbunya. Mengenai hal ini, Nabi mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku". ( As-Syura: 51)

  • Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.

  • Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: " Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".

  • Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".

KANDUNGAN (ISI) AL-QURAN


Sudah dimaklumi oleh kaum muslimin bahawa Al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6236 ayat (4613 ayat Makkiyah dan 1623 ayat Madaniyah).

Isi ajaran yang tercantum pada Al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:

  • Merupakan cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),

  • Peraturan masa kini (tatkala Al-Quran diturunkan) dan

  • Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasullullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).
Secara keseluruhannya, Al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.


HIKMAH DITURUNKAN AL-QURAN SECARA BERANSUR-ANSUR


Al Quran diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Hikmah Al Quran diturunkan secara beransur - ansur adalah:
  • Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a.
  • Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)

  • Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.

  • Memudahkan penghafalan. Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah (25) Al Furqaan ayat (32) iaitu: "……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?" Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri: "….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".

  • Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau Al Quran diturunkan sekaligus.
AYAT-AYAT MAKKIYYAH DAN AYAT-AYAT MADANIYYAH
  • Berdasarkan kepada tempoh waktu turunnya Al-Quran, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada 2 jenis:
  • Ayat-ayat Makkiyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah atau sebelum Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah
  • Ayat-ayat Madaniyyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah atau sesudah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah.
Perbezaan ayat - ayat Makaniyyah dengan ayat - ayat Madaniyyah ialah:
  • Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya pendek-pendek sedangkan ayat-ayat Madaniyyah panjang - panjang, surah Madaniyyah yang merupakan 11/30 dari isi Al Quran ayat-ayatnya berjumlah 1456, sedangkan surah Makaniyyah yang merupakan 19/30 dari isi Al Quran jumlah ayat - ayatnya ialah 4780 ayat. Juz 28 keseluruhannya merupakan ayat Madaniyyah kecuali surah (60) Mumtahinah, ayat - ayatnya berjumlah 137, manakala juz 29 ialah ayat Makaniyyah kecuali surah (76) Ad-Dahr ayat - ayatnya berjumlah 431. Surah Al-Anfaal dan surah Al-Syu'araa masing - masing merupakan setengah juz tetapi yang pertama ayat Madaniyyah dengan bilangan ayat sebanyak 75, sedangkan yang kedua ayat Makaniyyah dengan ayatnya berjumlah 227.

  • Dalam surah - surah Madaniyyah terdapat perkataan "ya ayyuhalladzina aamanu" dan hanya sedikit sekali terdapat perkataan "yaa ayyuhannaas", sedangkan dalam surah Makiyyah pula adalah sebaliknya.

  • Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya mengandungi hal - hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah - kisah umat yang terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti, manakala ayat - ayat Madaniyyah pula mengandungi hukum - hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau hukum - hukum duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum internasional, hukum antara agama dan lain-lain.


Petikan dari al-azim.com