30 September 2009

Puasa Enam Di Bulan Syawal

  • Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, seandainya dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus diamalkan setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para Salihin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadhan.

  • Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.

Dalam hadits Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ayyub al-Anshari r.a:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan,

kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal,

(puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu)

seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadits riwayat Muslim)