09 Disember 2009

Lupa & Lalai

Lupa dan lalai boleh membawa kepada implikasi yang buruk. Lalai dan lupa boleh menyebabkan seseorang terlanjur melakukan kemungkaran, kerana ia lupa yang perbuatannya itu diperhatikan oleh Allah s.w.t. Selain itu juga jika seseorang melupakan Allah, Allah akan melupakannya. Amat malang sekali, jika dirinya dilupakan oleh Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Harsy ayat 19:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Orang yang beriman, amat peka dalam menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap gerak kerjanya. Justeru, itulah golonga ahli khawas iaitu golonga yang tinggi martabat keimanannya, bertaubat kepada Allah s.w.t. bukan kerana dosanya, tetapi kerana mungkin berlaku detik-detik kelainannya dalam mengingati Allah.

Mereka juga bertaubat sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Ini berbeza dengan orang awam, mereka bertaubat kerana melakukan dosa. Bahkan kadang-kadang sudah melakukan dosa pun tidak terfikir untuk bertaubat, sebaliknya terus mengulangi dosa dan kadang-kadang ada berbangga-bangga dengan perbuatan dosanya.

Pandangan orang beriman amat berbeza dengan pandangan orang yang tidak beriman. Pandangan orang beriman dipandu oleh cahaya hidayah. Oleh itu mereka bersa kasihan melihat keadaan orang yang tidak beriman, yang tertipu oleh dirinya sendiri dan jauh daripada hidayah Allah s.w.t. Pandangan mereka banyak didorong oleh runtunan nafsu amarah serta bisikan dan tipu daya syaitan. Mata hatinya buta, anggota dan pancaindera menjadi alat bagi memuaskan segala keinginannya. Bagi orang yang tidak beriman pula, pandangannya terbalik, mereka berasa pelik dan hairan melihat sikap orang yang beriman serta menyifatkan sebagai jahil dan rugi. Sedang pada hakikatnya, merekalah yang jahil dan merekalah yang rugi. Firman Allah s.w.t :


Maksudnya: adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian kami menghidupkannya semula (dengan hidayah), lalu kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia (adakah orang yang demikian keaadannya) sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar samasekali daripadanya? Demikianlah kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik ape yang mereka kerjakan.

Memandangkan iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, marilah kita berusaha menambah dan menyuburkan keimanan kita, menyiram dan membaca melalui amal soleh yang merangkumi ibadat umum dan ibadat khusus. Dalam ibadat umum dengan menerapkan konsep ikhsan dalam kerja-kerja harian kita, iaitu meyakini sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa melihat ape yang kita lakukan walaupun kita tidak melihatnya. Selain itu bersikap ikhlas dan jujur serta bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja ia juga berusaha untuk melakukan penambah baikkan yang berterusan. Begitu juga dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadat khusus. Dengan membiasakan yang sunnah, akan dapat memelihara yang wajib. Dengan meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram. Dari segi makan minum pula bikan sahaja ia memastikan yang halal tetapi baik, yakni berkahsiat. Falsafahnya bukan hidup untuk makan, tetapi makan untuk menjaga kesihatan supaya dapat berbakti kepada Allah s.w.t. Kerana dari makan minumlah punca segala penyakit, sama ada penyakit jasmani atau rohani.

Sebagai manusia biasa, kita selalu mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani, tetapi bagaimana dengan usaha mengesan dan merawat penyakit rohani kalau kita sentiasa dilalaikan dengan kesibukkan bekerja, keseronokkan bersukan dan keasyikkan berhibur? Hanya iman sahajalah yang dapat memandu dan menentukan jalan yang benar. Anak kuncinya ialah ilmu, maka sekurang-kurangnya hadirilah majlis-majlis ilmu dan belajarlah secara berguru dengan guru-guru yang dimaklumi. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita.

Dalam kesempatan ini marilah kita sama-sama menilai diri kita, sama ada kita benar-benar memahami tentang aqidah dan hakikat tuntutan iman. Ditahap mana kedudukan iman kita, kuat atau lemah, tinggi atau rendah. Adakah tindakan-tindakan kita selari dengan dorongan dan tuntutan keimanan yang sebenar?

25 November 2009

Kelebihan Aidil Adha

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.”
Riwayat Muslim dan Aisyah r.a

a) Setiap orang Islam yang cukup syaratnya wajib mengerjakan haji di Mekah.
b) Ibadat haji merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk “menghampiri Allah S.W.T” yang juga disebut sebagai menyahut panggilan “Baitullah” atau menjadi “tetamu Allah” di mana ibadat ini perlu dikerjakan dengan penuh ketelusan, keikhlasan dan keinsafan serta tidak terpesong dari tujuannya yang sebenar.
c) Matlamat akhir yang diharapkan daripada kerja-kerja haji ialah untuk memperoleh dan mendapat haji yang mabrur, amalan yang banyak dan berkat serta dosa-dosa diampunkan. Apabila kembali dari tanah suci seseorang individu itu diharapkan benar-benar telah berubah, bersih, suci seperti sucinya diri semasa dilahirkan.
d) Di antara amalan yang dilaksanakan dalam ibadah haji ialah:
1) Bertawaf di sekeliling Kaabah sebagai menghormati Masjidil Haram dan jika berpeluang disunatkan untuk mencium Hajar Aswad .
2) Wukuf di Padang Arafah sebagai mengingatkan diri tentang satu perhimpunan raksasa di Padang Mahsyar di Hari Kiamat kelak.
e) Bagi orang Islam yang tidak berpeluang menunaikan ibadat haji, mereka sebenarnya masih berpeluang untuk sama-sama mengaut pahala yang besar sempena hari Arafah tersebut di mana mereka digalakkan berpuasa sunat pada hari wukuf di Arafah itu kerana sesungguhnya Allah S.W.T akan mengampunkan dosa orang yang berpuasa sunat pada hari Arafah iaitu setahun sebelum dan setahun selepas melaksanakan puasa sunat tersebut.

23 Oktober 2009

Hikmat Ayat Al-Kursi

1. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi ketika berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh.

2. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir tiap sembahyang, dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah di sekitarnya.

4. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir tiap-tiap solat fardu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, serta Allah melimpahkan rahmat padanya.

5. Barang siapa membaca ayat al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir sembahyang, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

13 Oktober 2009

Undangan & Jamuan

1. Keutamaan Memberi Jamuan

Rasulullah s.a.w. bersabda yang beerti:
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Pernah juga Rasulullah s.a.w ditanya: “Apakah keimanan itu?” Baginda s.a.w. menjawab: “Iaitu memberikan makanan serta memberi salam.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

2. Undangan

Ada beberapa perkara yang berhubung dengan undangan, maka perhatikanlah perkara-perkara di bawah ini:

Pertama: Sebaiknya orang yang mengundang itu mengutamakan orang-orang yang bertaqwa, bukan orang-orang yang fasik. Dalam perkara ini Rasulullah s.a.w. bersabda ertinya:
“Berikanlah makananmu kepada orang-orang yang bertakwa.” (Diriwatkan oleh Abu Daud)

Kedua: Dalam memberikan undangan itu janganlah mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja, tetapi hendaklah menyertakan orang-orang fakir miskin. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang beerti:
“Seburuk-buruk makanan ialah walimah yang diundang orang-orang yang kaya dan ditinggalkan orang-orang fakir.” (Diriwayatkan oleh Thabrani)

Ketiga: sebaik-baiknya ialah janganlah lagi meninggalkan kaum keluarga dalam undangan itu, sebab melupakan mereka ini beerti satu penghinaan dan akan menyebabkan putusnya tali persaudaraan.

Hendaklah juga diadakan peraturan yang rapi dan penelitian yang sebaik-baiknya apabila mengundang kawan dan kenalan, sebab dengan mengkhususkan sebahagian yang lain menyebabkan rasa kesal kepada sebahagian mereka yang tidak diundang itu.

Keempat: sementara itu apabila mengadakan jamuan janganlah ada maksud hendak berbangga-bangga atau bermegah-megah, tetapi tujuan utamanya ialah merapatkan seluruh kawan, memberikan kegembiraan dalam jiwa seluruh kaum mukminin.

Kelima: sebaik-baiknya janganlah mengundang seseorang yang dianggap atau menurut kebiasaannya sukar untuk mengabulkan undangan, jika mereka datang juga, maka akan menyusahkan para hadirin yang lain-lain dengan sesuatu perkara atau sebab lain.

Oleh sebab itu hendaklah undangan itu disampaikan sahaja kepada orang-orang yang senang dan tidak keberatan untuk memenuhinya.

30 September 2009

Puasa Enam Di Bulan Syawal

  • Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, seandainya dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus diamalkan setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para Salihin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadhan.

  • Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.

Dalam hadits Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ayyub al-Anshari r.a:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan,

kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal,

(puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu)

seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadits riwayat Muslim)

16 September 2009

SELAMAT MENYAMBUT
HARI RAYA AIDILFITRI

12 September 2009

Lailatul Qadar Mengganda Pahala

“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar. Malam lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dari setiap perkara. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar” (Surah Al-Qadr).

Malam Lailatul Qadar disebut didalam ayat Al-Quran dan banyak Hadis Rasulullah saw. Beribadah pada malam itu lebih baik dari beribadah 1000 bulan atau 83 tahun, menyamai umur panjang seorang insan. Beribadah pada malam adalah tersebut termasuk solat, tilawah Al-Quran, istighfar, berzikir dan sebagainya seperti ibadah di dalam Qiyamullail pada malam-malam yang lain.

Berikut adalah Hadis-hadis Sahih riwayat Iman Al-Bukhari mengenai Malam Lailatul Qadar.
Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah saw bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan solat malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.

Beberapa orang Sahabat diperlihatkan malam lailatul Qadar didalam mimpi pada Tujuh Malam Terakhir. Lalu Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Aku lihat mimpi kamu kena pada Tujuh Malam Terakhir, maka sesiapa yang mencarinya, carilah pada Tujuh Malam Terakhir”.

Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Aku diperlihatkan Malam Lailatul Qadar kemudian aku lupa – atau dilupakan – maka carilah ia pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir. Sesungguhnya aku melihat aku sujud di dalam air dan tanah. Sesiapa yang telah beriktikaf bersama aku (di pertengahan Ramadan) maka datanglah semula (untuk beriktikaf di Akhir Ramadan)”.
Para Sahabat ra berkata, “Lalu kami kembali (beriktikaf) dan kami melihat Qaza’ah di langit, datang awan dan turun hujan hingga basah bumbung Masjid yang diperbuat dari pelepah kurma. Solat pun didirikan dan aku melihat Rasulullah saw sujud di dalam air dan tanah, hingga aku lihat kesan tanah di dahinya”.

Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”.

Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”… dari Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Malam Ke 24″.

Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw apabila masuk Sepuluh Malam Terakhir, Baginda saw mengikat ketat pakaiannya, menghidupkan malamnya (dengan ibadah) dan membangunkan isteri-isteri dan ahli keluarganya”.

Mengenai Iktikaf pulan, saya perturunkan Hadis-hadis Sahih riwayat Al-Bukhari mengenainya di bawah ini :

Dari Abdullah bin Omar ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan”.

Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan sehingga Allah mewafatkannya. Kemudian selepas itu, isteri-isterinya pula beriktikaf”.